Syarikat penerbangan negara telah diswastakan oleh Khazanah Nasional Berhad dalam belian bernilai RM1.38 bilion, selepas mencatatkan lebih RM4.9 bilion kerugian sejak awal 2011.

Syarikat penerbangan kebangsaan kini diterajui Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu, Christoph Mueller yang dilihat mengutamakan prinsip pemulihan dengan ‘keringat dan air mata’ supaya syarikat penerbangan itu kembali sihat.

Pada awal-awal lagi Mueller merancang untuk ‘menahan pendarahan daripada terus mengalir’ pada 2015, menstabilkan perniagaan pada 2016 dan melihat pertumbuhannya pada 2017. Menjelang 2018, syarikat penerbangan kebangsaan ini akan mensasarkan keuntungan.

Sebagai sebahagian rancangan pemotongan kos keseluruhan sebanyak 20 peratus, 6,000 kakitangan terpaksa ditamatkan perkhidmatan, beberapa kontrak dengan pembekal perlu dirunding semula dan proses ini masih diteruskan, rasionalisasi laluan destinasi penerbangan diselaraskan dengan menilai semula laluan yang merugikan supaya syarikat berada sama tahap amalan syarikat penerbangan global.

Untuk memastikan 6,000 kakitangan yang terlibat terus mendapat pekerjaan lain, pemilik MAB, Khazanah menubuhkan Pusat Pembangunan Korporat (CDC). CDC yang mula beroperasi pada 1 Jun 2015 menawarkan latihan dan penempatan keluar secara percuma kepada kakitangan MAS yang tidak ditawar bekerja dengan MAB.