Pages

Thursday, January 28, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Syed Ahmad Abu Bakar


Pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 pasti satu pencapaian yang paling membanggakan tetapi ia masih tidak mampu mengubati kekecewaan Syed Ahmad Abu Bakar kerana terlepas ke Sukan Olimpik Munich, dua tahun sebelum itu.

Meskipun lima gol penyerang kelahiran Johor itu dalam aksi kelayakan di Seoul dari September hingga Oktober 1971 banyak membantu Malaysia layak ke Olimpik, namun dia gagal menjamin tiket ke Munich gara-gara kecederaan belakang. Syed Ahmad turut dikatakan berselisih faham dengan jurulatih negara, Jalil Che Din apatah lagi penyandang jawatan, Dave McLaren dari Scotland lebih arif menonjolkan bakat warden penjara Johor Bahru itu sebagai penyerang utama dalam formasi 4-2-4.

Malaysia, bukan pilihan berjaya mengejutkan pasukan tuan rumah yang berlatih panjang di Amerika Selatan malah Jepun, pemenang pingat gangsa Olimpik 1968, juga membariskan penyerang kembar terbaik Asia, Ruichi Sugiyama dan Kunishige Kamamoto. Tandukan gol tunggal Syed Ahmad pada minit ke 54 basil hantaran tepat Looi Loon Teik mengaibkan Korea Selatan dalam Kumpulan 1 kelayakan hanya dua hari selepas meledak hatrik membenam Jepun 3-0.

Berusia 25 tahun ketika itu, Syed Ahmad bagaimanapun tidak menyumbat gol dalam perlawanan ketiga, dengan Looi Loon Teik dan Salleh Ibrahim memastikan Taiwan tumpas 3-0 sebelum menjaringkan satu gol ketika membelasah Filipina 5-0. Ketika kemunculan beberapa penyerang lebih muda seperti Shaharuddin dan Mokhtar Dahari, malah Isa Bakar di Sukan Asia Tehran 1974, nama Syed Ahmad tidak terpinggir meskipun Jalil masih mengemudi skuad negara.

Digabungkan keempat-empat mereka di bahagian serangan, barisan penggempur Malaysia paling berbisa tercatat dalam sejarah apabila mengumpul 20 gol di Tehran walaupun mereka bermula goyah susulan dibelasah Israel 8-3 pada 3 September 1974. Syed Ahamd menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu, disusuli dua gol lagi ke atas Filipina yang dibelasah 11-0 termasuk lima gol Mokhtar dan masing-masing dua daripada Isa dan Harun Jusoh sebelum mereka memastikan gangsa kali kedua buat Malaysia dalam sejarah Sukan Asia apabila membenam Korea Utara 2-1.

Malah ribuan peminat di Stadium Merdeka cukup bertuah menyaksikan kehebatan gandingan penggempur Syed Ahmad, Mokhtar, Mohamad Bakar, Wong Choon Wah dan Shaharuddin Abdullah yang menjuarai Pestabola Merdeka 1974 dengan menewaskan Korea Selatan B 1-0. Syed Ahmad yang lahir pada 20 April 1946 menyarung jersi Malaysia dari tahun 1965 hingga 1974, pernah mewakili negeri Johor (1960, 1963 hingga 1964), Pulau Pinang (1965-1972) Perak (1972 -1980) serta Kedah (1980-1981). 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078