Pages

Sunday, January 17, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Khan Hung Meng


Selangor banyak melahirkan pemain sayap kiri handalan seperti Mendiang M.Govindarajoo pada era 60-an, Zulkifli Norbit pada era 70-an dan Khan Hung Meng pada era80-an.

Hung Meng cukup sinonim dengan kegemilangan skuad Merah Kuning sebagai penakluk Piala Malaysia pada tahun 1981, 1982,1984 dan 1986, apatah lagi ketika itu dia bergandingan dengan 3S Selangor - Supermokh, Spiderman dan Santokh Singh. Memulakan karier bola sepak seawal usia 15 tahun, anak kelahiran Pulau Pinang pada 5 April 1959 ini berhijrah ke Selangor pada tahun 1981.

Dia juga menganggotai skuad yang memenangi kejuaraan trebel Selangor pada tahun 1984 yang turut merangkumi trofi liga dan Sumbangsih, sekaligus memikat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tersenarai dalam skuad kebangsaan. Dari tahun 1982 hingga 1987, Hung Meng menyarung jersi Malaysia dan mendapat bimbingan jurulatih tempatan dan luar negara seperti Datuk M.Chandran, Mendiang Frank Lord, Mohamad Bakar, Dr Jozef Venglos dan Abdul Rahman Ibrahim.

Tentu sekali menjuarai Pestabola Merdeka 1986 terukir sebagai memori terindah Hung Meng apabila skuad negara menewaskan kelab Sigma Olumouc dari Czechoslovakia 3-0 hasil jaringan Wong Hung Nung, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh. Kejayaan di Stadium Merdeka itu turut memenuhi syarat kelayakan Majlis Olimpik Malaysia ke Sukan Asia Seoul 1986 walaupun mereka kemudian hanya menghuni tempat tercorot Kumpulan C tanpa sebarang mata di belakang Arab Saudi, Indonesia dan Qatar.

Setahun sebelum itu, Hung Meng membantu Malaysia mengutip pingat gangsa Sukan Sea Bangkok setelah disekat Singapura menerusi penentuan penalti 6-5 di peringkat separuh akhir namun menewaskan Indonesia 1-0 dalam penentuan tempat ketiga. Dia menyamakan kedudukan untuk mengikat Singapura 2-2 seminit sebelum perlawanan di Stadium Suphachalasai itu berakhir dan menyudahkan penalti keempat namun Salim Mahmud gagal dalam sepakan terakhir.

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1984 turut mewarnai karier kebangsaan Hung Meng, yang memberikan persembahan 'Pemain Paling Bernilai' untuk membantu Selangor membalas dendam kekalahan musim terdahulu kepada Pahang 3-1. Berlangsung pada 27 Mei 1984 itu, dia mengumpan bola kepada Azhar Shariff untuk gol pendahuluan perlawanan pada minit ke 87 sebelum menewaskan Mendiang Ong Yu Tiang di gawang skuad Tok Gajah, dua kali pada minit ke 89 dan 90.

Hung Meng bersara pada tahun 1992 selepas 11 tahun mewakili Selangor namun kembali beraksi bersama skuad bola sepak pantai negara dalam Cabaran Mild Seven di ibu kota pada tahun 1998. Dia mencuba nasib dalam bidang kejurulatihan pada tahun 2004 apabila dilantik mmbimbing kelab MK Land yang kemudiannya bergelar Naib Juara Liga Perdana pada tahun 2004 dan meraih tempat ketiga pada tahun 2005.   

Malangnya, kelab Selangor itu menarik diri daripada Liga Malaysia. Dia kemudian disambar Majlis Pembandaran Petaling Jaya (MPPJ) pada tahun 2006 bagi menggantikan B.Sathianathan sebelum menyertai UPB- My Team, pada tahun yang sama. Sebagai penolong jurulatih kepada Bojan Hodak untuk UPB- My Team, sebuah kelab gabungan antara Jenderata Perak dan satu siri realiti TV mereka pernal terlibat dalam saingan Liga Super untuk tempoh setahun.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078