Pages

Sunday, January 17, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Dollah Salleh


Satu tandukan dan rembatan. Ia cukup bersejarah kerana bersempena Hari Kebangsaan ke-32 selain hakikat mengakhiri kemarau tujuh tahun gelaran Pestabola Merdeka.

Sebagai penyerang Malaysia, tiada lagi detik ternama dalam karier bola sepak Dollah, anak jati Tangga Batu, Melaka melainkan kedua-dua gol di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur itu. Dia menanduk sepakan percuma Razip Ismail pada minit ke 60 untuk memastikan Malaysia mengucup pingat emas ke 67 dan terakhir dalam Sukan Sea 1989 semasa menghampakan Singapura 3-1.

Rembatan padu dari jarak jauh selepas menggelecek Park Nam Yeol, berjaya merobek gawang Korea Selatan seawal minit ketiga dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 1993 yang dimenangi Malaysia 3-1. Penggemar no 9 ini terkenal dengan kemahiran menggelecek dan rembatan kaki kiri yang turut memukau Korea Selatan dalam kelayakan Piala Dunia 1985.

Menerusi jaringan tunggal Dollah, Malaysia menang 1-0 dan apa yang menarik, dua bulan kemudian dia digandingkan dengan penyerang terbilang negara, Mokhtar Dahari yang keluar daripada persaraan kali ketiga untuk berdepan lawan di Seoul, namun tewas 2-0. Dia juga menyertai Wong Hung Nung dan Zainal Abidin Hassan ketika membenam kelab Czechoslovakia, Sigma Olomouc 3-0 untuk menjulang trofi Pestabola Merdeka 1986 sekaligus menepati syarat kelayakan Majlis Olimpik Malaysia untuk ke Sukan Asia Seoul.

Di arena kebangsaan, Dollah yang lahir pada 23 Oktober 1963, memulakan karier dengan Johor pada tahun 1982 dan menghadiahkan mereka Piala Malaysia 1985 dan Piala Sultan Ahmad Syah 1986 sebelum digandingkan dengan Zainal di Selangor dari tahun 1987 hingga 1990. Agak terkilan apabila dia gagal menjulang Piala Malaysia dengan Selangor dan sekadar memenangi Piala Sultan Ahmad Syah dan Liga Semi Pro pada tahun 1987, 1989 dan 1990. Namun nasib penyerang kembar ini bertukar apabila berpindah ke Pahang.
Menyarung jersi Tok Gajah, Dollah dan Zainal merangkul treble pada musim 1992 Piala Sultan Ahmad Syah, Liga Perdana Satu dan Piala Malaysia selain menakluki Liga Perdana Satu 1995. Dia hanya mengambil keputusan untuk bersara sebagai pemain pada tahun 1999 selepas mewakili Melaka dan Negeri Sembilan ketika berusia 36 tahun. Selepas cuba menceburi karier keusahawanan, Dollah kembali menyarung but bola sepak untuk membantu MPPJ menjulang Piala FAM 2001 sebelum kembali bersara dan dilantik sebagai penolong jurulatih kelab Selangor itu.  

Sentuhan ajaib Dollah sebagai jurulatih mula terserlah apabila membawa MPPJ selaku kelab pertama menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2003 dan juara Liga Perdana 2004 malah turut menggondol treble tahun 2005 (Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia) dengan Selangor. Namun musim surut dan kegagalan meraih sebarang trofi berterusan buat Dollah dari tahun 2006 hingga 2012 - membimbing Shahzan Muda, Selangor dan Pahang - sebelum meraikan kejayaan mengakiri kemarau Piala Malaysia selama 21 tahun buat Tok Gajah selain membawa Polis Diraja Malaysia menjuarai Liga Perdana 2014. Selepas dua kali tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditolak, Dollah akhirnya memberikan persetujuan pada Jun 2014 untuk mengemudi skuad Harimau Malaya hampir memenangi Piala Suzuki AFF apabila dihampakan Thailand 4-3. Namun September 2015, Dollah Salleh meletak jawatan sebagai jurulatih Harimau Malaya. Pada Januari 2016 Dollah kembali melatih pasukan Perlis untuk mengharungi Liga Perdana 2016   

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078