Pages

Monday, March 7, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 39 Kebahagiaan Duduk Sebumbung



KEBAHAGIAAN DUDUK SEBUMBUNG


Sejak saya dibawa pulang dari Pulau Pinang ke Singapura, hidup kami sekeluarga boleh dikatakan ceria dan amat bahagia, saling faham memahami antara satu sama lain. Bapa saya sentiasa sibuk dengan kerja-kerjanya di studio, sementara ibu tiri yang pertama Noorizan pula sibuk dengan kerja-kerja rumah dan mengamalkan disiplin yang amat ketat. Semasa tinggal di Yarrow Garden Siglap Singapura, ibu tiri Noorizan memang mengambil berat tentang urusan peribadi bapa. Cuma kalang-kala bapa saya merasakan seperti dikongkong. Saya masih ingat beberapa adik beradik angkat saya yang tinggal sebumbung dengan kami antaranya Kakak Normah, adik saya Betty, dan Sazali. Sazali merupakan anak manja bapa saya, kerana itulah kami tidak boleh menyakiti dan menyalahkan dia, walaupun dia sering berkelakuan nakal. Ibu tiriku Noorizan juga amat menyayangi kesemua anak-anak tirinya, malah dia tidak memilih kasih, semuanya dilayan sama rata, walaupun bapa saya kadangkala bersikap pilih kasih terhadap Sazali. Ketika kami tinggal di Yarrow Garden Siglap Singapura, pemandu kereta Holden hijau bapa saya ialah bapa mertua Omar Suwita, iaitu Wak Kimen namanya. Beliaulah yang membawa bapa saya dari rumah ke studio Jalan Ampas di Jalan Balestier, dan selepas shooting sebelah petang pak cik driver ini akan membawa bapa saya pulang ke rumah. Waktu itu semua adik beradik saya masih kecil, jadi tidak banyak masalah yang timbul.

Setelah beberapa tahun di Yarrow Garden Siglap, akhirnya kami berpindah ke MacPherson Road dan menduduki rumah teres dua tingkat. Di sini juga kehidupan kami aman damai pada mulanya. Sewaktu menetap di situ bapa saya mempunyai pemandu yang baru bernama Pak Hamdi dan isterinya Kak Salmah. Mereka suami isteri tinggal dengan kami di sebuah bilik yang disediakan terletak berhampiran dengan dapur. Pak Hamdi merupakan kawan lama bapa saya. Menurut cerita daripada kawan-kawan bapa saya, Pak Hamdi ini berketurunan orang Bawean, dan dia pernah menolong bapa saya ketika sama-sama bujang dahulu semasa beliau menumpang tinggal di salah sebuah pondok Bawean. Walaupun dia merupakan pemandu kami, tetapi bapa saya tidak menganggapnya sebagai pemandu, malah sebagai kawan biasa. Mereka sering bergurau, dan kadang-kadang Pak Hamdi juga pernah menasihati kami semua termasuk bapa saya jika timbul satu-satu masalah. Selain daripada menghantar bapa saya ke studio dan mengambilnya pulang dari studio, ada ketikanya juga Pak Hamdi terpaksa bekerja malam, sekiranya bapa saya mempunyai program sebelah malam.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee  

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078