Pages

Wednesday, March 9, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 56 Air Mata Di Kuala Lumpur



AIR MATA DI KUALA LUMPUR


Satu kisah yang tidak dapat dilupakan dalam hidup saya ialah tentang lagu "Air Mata Di Kuala Lumpur", lagu hasil ciptaan bapa saya yang terakhir sebelum beliau meninggal dunia buat selama-lamanya. Sewaktu hayatnya, beliau pernah memberitahu Saloma yang beliau ingin membuat sebuah cerita dengan judul "Air Mata Di Kuala Lumpur", tetapi beliau hanya sempat mencipta lagu itu terlebih dahulu. Setelah dia pergi barulah kami malahan masyarakat umum mengetahui isi hatinya tentang "Air Mata Di Kuala Lumpur". Sekembalinya saya bersama Saloma membawa jenazah bapa saya pulang ke rumah di No 22 Jalan Dedap, kelihatan ramai orang yang mula berpusu-pusu untuk menziarahi Allahyarham bapa saya, bukan sahaja orang Melayu, malah yang bukan Melayu pun ramai yang turut sama. Suasana ketika itu amat kelam kabut, sehingga saya merasakan seolah-olah mereka yang datang tidak percaya dengan kematian bapa saya. Takziah demi takziah datang tidak berhenti-henti, derma daripada para dermawan juga mencurah-curah datang, malah ada yang juga pengsan.

Para pemimpin politik, pejuang seni dan mereka yang kenal rapat dengan bapa saya turut datang untuk melihat wajah terakhir bapa saya. Selain daripada para seniman seniwati veteran dan juga yang baru, semuanya bermuram dan sedih, termasuk mereka yang datang dari Singapura, antaranya Pak Cik Ahmad Daud dan Mak Cik Saadiah, Pak Cik Kassim Masdor dan Sanisah Huri, dan tidak ketinggalan bekas guru tuisyen saya dan juga murid bapa saya Cikgu Yusnof Ef dan isteri.

Setelah semua siap dan jenazah telah siap dimandikan, maka dengan rasa terharu dan pilu, diikuti oleh ratusan peminat yang datang mengunjungi rumah saya, maka kami membawa jenazah bapa saya ke masjid Kampung Baru untuk disembayangkan. Saloma dan keluarga yang lain turut mengiringinya, saya dapat rasakan bagaimana pilunya Saloma untuk menabur "pacai" ke atas jasad bapa saya. Sepanjang jalan ke arah masjid Kampung Baru ramai orang beratur dan ada yang menadahkan tangan serta berdoa untuk bapa saya. Sesampainya kami di perkarangan masjid begitu ramai yang menunggu. ketika inilah saya dapat melihat wajah-wajah yang sedih dan ada pula yang mengesat-ngesat air mata.

Akhirnya jenazah dibawa masuk ke dalam masjid, kelihatan berdiri mengadap dengan jenazah selain dari saya sendiri, ialah Pak Cik Ahmad Daud, Jins Shamsudin, Yusof Suria dan Cikgu Yusnof Ef. Setelah disembayangkan maka jenazah dibawa terus ke kawasan tanah perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang. Sesampainya kami di sana, wah! ramai betul yang menunggu, kami terpaksa meminta jalan untuk membawa masuk jenazah ke tanah perkuburannya. Saya, Saloma, ibu Saloma dan famili yang lain dapat duduk di bahagian hadapan makamnya, sewaktu jenazah hendak dibawa masuk ke dalam liang lahad, di waktu itulah hujan renyai-renyai pun turun, seolah-olah mengiringi suasana tangisan di seluruh pelusuk tanah air. Betullah dengan apa yang Allahyarham hasilkan sebelum kematiannya, lagu yang berjudul "Air Mata Di Kuala Lumpur" memang benar dapat dilihat pada hari itu negara seolah-olah menangis sama ada di atas kematian bapa saya. Di tanah perkuburan ramai yang datang memberi salam takziah kepada saya dan Saloma, dan saya sendiri tidak dapat melihat wajah-wajah mereka, kerana di dalam keadaan yang sedih dan kelam kabut. Setelah selesai pengkebumian bapa saya, maka kami sekeluarga terus pulang ke rumah, semasa dalam perjalanan pulang kelihatan masih ramai orang berpusu-pusu ke tanah perkuburannya, dan terdapat beberapa buah bas yang masih berada di luar kawasan tanah perkuburan. Saloma yang begitu lemah dipapah oleh sepupu saya ke keretanya, saya perhatikan Saloma nampak macam biasa cuma beliau agak lemah dan tidak berdaya untuk berjalan.

Sesampainya di rumah kami semasa membuat persediaan untuk kenduri tahlil, ramai juga yang turut ke rumah. Setelah selesai kenduri oleh pak iman masjid, Saloma mula membaca telegram yang tiba begitu banyaknya dari tokoh-tokoh ternama termasuk menteri. Tidak lama kemudian, Pak Cik Ahmad Daud, Saadiah, Kassim Masdor dan Cikgu Yusnof Ef datang menemui Saloma. Setelah beberapa hari bapa kembali ke rahmatullah, satu malam sedang saya duduk termenung dan mengimbas kembali saat-saat bahagia bersama bapa dari sejak kecil dan saat-saat bahagia bersama bapa dari sejak kecil dan saat-saat pertengkaran saya dengan bapa, air mata berlinangan, saya tidak dapat menahan. Barulah saya faham bagaimana perasaan seorang anak kandung apabila kehilangan bapa kandung yang disayangi. Saya menyesal, tetapi seperti kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Walau bagaimanapun saya terpaksa meneruskan hidup sekeluarga, dan saya menjalankan tugas-tugas seharian, di samping menjenguk Saloma dan adik angkat saya Sazali.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078