Pages

Wednesday, March 9, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 55 Satu Kejutan

SATU KEJUTAN


Saya sudah lama tidak tinggal bersama bapa saya. Semenjak perkahwinan pertama, dan kedua, saya tinggal bersama keluarga saya sendiri, dan jarang sekali ke rumah bapa saya. Ini kerana kami tidak bersefahaman dan kemarahan bapa saya dengan perkahwinan saya yang pertama. Mungkin waktu itu saya membuat keputusan dengan agak tergesa-gesa dan tidak memikirkan tentang nasihat orang tua, saya menganggap itu adalah satu kesilapan saya sendiri. Sungguh pun tidak tinggal serumah, tetapi saya selalu bertanyakan khabar melalui ibu tiri saya Saloma.

Setelah bercerai, saya meneruskan kerjaya saya sebagai pemuzik di Hotel Merlin. Kerana saya merupakan pemuzik tetap di situ, maka saya diberi satu bilik untuk saya menetap sebagai tempat bermalam. Kira-kira selepas subuh sedang saya nyenyak tidur setelah bekerja jauh malam, tiba-tiba pintu bilik saya diketuk orang dengan kuatnya. Apabila saya membukanya, alangkah terkejutnya saya dengan kehadiran dua orang anggota polis dengan pakaian seragamnya tercegat di hadapan pintu bilik saya. Saya juga terpegun dan mempelawa mereka masuk ke bilik saya. Apabila mereka masuk, mereka terus berkata," Encik Nasir, bersabar, ini berita jangan terkejut, kami diarahkan supaya memberitahu Encik Nasir, bapa Encik Nasir sudah tiada, meninggal dunia.". Mereka mengulangi apa yang dicakapkan, kerana ketika itu saya dalam keadaan antara sedar dengan tidak, kerana terlalu mengantuk. Tidak lama selepas itu keadaan saya mula tenang dan jelas lalu saya terus bertanya kepada pegawai polis itu,"Di mana mayatnya sekarang?" Pegawai polis itu menjawab, "Sekarang berada di Hospital Besar Kuala Lumpur," Saya mengangguk dan mengucapkan terima kasih, dan pegawai polis itu terus beredar dari situ. Saya terus terduduk di atas katil dan serta merta berkecamuk di kepala saya berbagai-bagai kemungkinan yang terbayang, saya menangis, dan sebak, di dalam hati berkata,"Ya Allah, saya berdosa dengan papa, kenapalah saya tidak berjumpanya sebelum dia pergi."

Tiba-tiba telefon berdering, saya mengangkat dan menjawab panggilan itu. Rupa-rupanya Saloma dengan nada yang tenang memberitahu,"Nasir, Daddy sekarang berada di hospital kerana diserang sakit jantung, kita jumpa di hospital," Saya amat terharu dan faham dengan kata-kata mama. Dengan segera saya memakai baju dan terus ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Setibanya di hosital, saya dapati orang ramai sudah membanjiri kawasan hospital tersebut, mungkin mereka telah mendengar berita tentang kematian bapa saya itu. saya terus menuju ke pintu besar, hospital dan mencari-cari mama, tiba-tiba saya didekati oleh seorang tua yang agak pelik kelakuannya terus memimpin saya ke rumah mayat. Dia tidak banyak bercakap, hanya menyuruh saya bersabar dan redha dengan apa yang berlaku, kerana Tuhan lebih sayang kepada Allahyarham bapa saya.

Setibanya di rumah mayat, alangkah sedihnya saya melihat mayat bapa saya terbujur di atas katil batu tanpa dialas kain dan bantal yang sempurna. Barulah saya sedar rupanya bapa saya telah meninggal dunia. Saya menangis sekuat-kuat hati dan terus memeluk mayat bapa saya. Dalam hati saya berkata," Aku kehilangan bapa, dosaku banyak kepadanya," Beberapa pegawai di bilik mayat hanya memerhati dan cuba menenangkan keadaan saya, begitu juga mama dan beberapa orang sahabat bapa saya.

Sebelum mayat dibawa pulang ke rumah, saya hanya duduk dalam keadaan tidak berdaya di sebelah mayat bapa saya. Waktu itu, saya hanya mampu menerima ucapan takziah daripada sesiapa yang datang. Seketika kemudian, seorang doktor datang berjumpa saya dengan membawa satu dokumen untuk saya tandatangani agar satu bedah siasat dapat dijalankan segera. Saya tidak berkata apa-apa hanya memandang kepada doktor itu, dia terus berkata, "Encik Nasir terpaksa tandatangani surat ini agar kami dapat menjalankan tugas bedah siasat dengan segera dan sempurna," Saya dengan serta merta menjawab," Tolonglah tuan doktor, saya tidak mahu mayat bapa saya teraniaya dibelah, saya mahu beliau kembali dengan sempurna," Disebabkan ketegasan saya, maka kerana itulah mayat bapa saya agak lewat dibawa pulang ke rumah. Di waktu yang sama kawan bapa saya yang berada di situ memarahi saya dengan berkata, "Kalau tidak dibedah siasat, maka wang insurans susah nak dapat," Dengan rasa marah dan geram terus saya menjawabnya," Go to hell with that bloody insurance!" semua yang berada di situ agak terkejut, tetapi mama yang berada di sisiku cuba menenangkan saya, "Sabar Nasir, don't lost yout temper," Akhirnya hampir setengah hari di hospital, barulah mayat bapa saya dibawa balik ke rumah dengan menaiki van hospital tanpa dibedah siasat.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078