Pages

Monday, March 7, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 40 Masalah Bermula Di MacPherson Road


MASALAH BERMULA DI MACPHERSON ROAD


Berbagai-bagai masalah mula timbul semasa kami tinggal di MacPherson Road kerana di rumah inilah suasana rumah tangga bapa telah mula diganggu dan dicemarkan oleh orang-orang yang sengaja membuat angkara dan cuba mengadu-dumbakan suasana ceria dan harmoni keluarga kami. Walaupun ketika itu saya masih belum matang, tetapi dari gerak geri mereka yang sumbang sudah dapat saya faham, dan bapa saya adalah manusia yang terlalu jujur, dia mudah percaya kepada orang, dan kadang-kadang dia tidak hiraukan sangat cemuhan dan hasutan orang kepadanya, dia selalu berpegang kepada takdir, kalau dah terjadi, itu takdir katanya.

Bapa saya pernah menjadi tuan punya penerbitan sebuah majalah, namanya Majalah Gelanggang Filem. Pada awalnya dia menyerahkan pengurusan syarikat itu kepada rakannya iaitu saudara Rahman B. Pejabatnya ketika itu terletak di Rangoon Road bersebelahan dengan kuil Buddha. Kemudiannya Rahman B tidak dapat meneruskan tugasnya lagi, tempatnya pula diganti oleh seseorang yang boleh dianggap penasihatnya iaitu Pak Cik Abdullah Hussien (Sasterawan Negara),bapa saya memanggilnya "Cik Lah". Beliau ialah seorang wartawan dan penulis terkenal, seorang sasterawan dan pemikir khususnya mengenai bahasa dan sastera. Dia dilantik sebagai ketua pengarang, di bawahnya terdapat beberapa orang penulis antaranya Aimi Jarr, A.S.Amin, Masnawi dan M.Osman serta beberapa yang lain. Pegawai pemasarannya ialah saudara Kamal. Saya masih ingat jurugambarnya ialah saudara Zainal. Majalah ini sangat laris dan menjadi bahan bacaan ramai peminat filem khususnya. Mereka sering ke rumah kami berbincang dengan bapa saya sehingga lewat malam. Pejabatnya kemudian berpindah ke Tembeling Road, tidak jauh dengan rumah Hamidah gadis Arab yang menjadi pujaan bapa saya ketika itu.

Setelah beberapa lama Cik Lah memimpin Gelanggang Filem, tiba-tiba Cik Lah terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerjayanya di sana. Waktu inilah saya dapati bapa saya agak sedih dan susah hati, kerana orang yang dipercayainya selama ini akan meninggalkannya. Walau bagaimanapun, dia tidak dapat menahannya, kerana itu adalah rezeki Cik Lah. Akhirnya tempat beliau diserahkan kepada pak cik saya Ahmad Rejab atau lebih terkenal dengan panggilan Ahmad Joko berasal dari Pulau Pinang. Beliau ialah seorang pemuzik dan merupakan  peniup saxophone. Sementara pengarang-pengarangya ialah Aimi Jarr, A.S. Amin, Masnawi dan lain-lain.

Pak cik saya ini tidaklah sehebat Cik Lah, kerana beliau bukan pengarang dan bukan pula "Businessman", dia hanya menjalankan tugas sebagai pengurus pejabat. Mulai dari saat inilah timbul beberapa masalah di dalam Gelanggang Filem. Saya mendapat tahu daripada bapa saya, setelah diberitahu oleh pak cik saya yang syarikat semakin teruk menanggung hutang, Bagaimana boleh terjadi, majalah laku, duit tak ada, bapa saya sudah mula bosan dan sering merungut di rumah.

Saya masih teringat satu peristiwa Aimi Jarr datang ke rumah saya di MacPherson Road pada sebelah malam bersama Cikgu Yusnor. Ketika itu bapa saya bersama Kassim Masdor dan beberapa orang lain sedang  berbincang tentang lagu-lagu Panca Sitara. Apabila Aimi Jarr sampai, bapa saya terus bertanya Aimi Jarr mengapa dia meletakkan gambar Cliff Richard dengan tajuk "Cliff Richard bercium dengan Sarah Abdullah" di muka hadapan. Mengikut kata bapa saya, kita terpaksa menarik balik keluaran hari itu, kerana seorang peguam kawan bapa saya dari Johor, menasihatkan dia supaya gambar dan kata kata itu diganti dengan gambar lain.  Jika tidak pihak yang berkenaan boleh menyaman malu kepada Gelanggang Filem. Akhirnya apa yang saya tahu, keluaran itu diganti.  



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078