Pages

Tuesday, March 8, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 47 Bertemu Semula Dengan Normah



BERTEMU SEMULA DENGAN NORMAH



Setelah kejadian itu, saya meneruskan kerjaya saya sebagai pemain muzik. Saya sering ke merata pelusuk tanah air, kebetulan pada satu masa saya bersama Booty Boys bermain di satu Fun Fair di kawasan Pekan negeri Pahang. Kami menginap di sebuah hotel. Dengan tidak disangka-sangka pada satu malam Kak Normah yang meninggalkan rumah tempoh hari, tiba-tiba muncul di hotel, tempat penginapan saya. Saya amat terkejut dan semacam bermimpi, kerana wajah Kak Normah yang begitu cantik, berkulit putih dan halus seperti anak Jepun, tiba-tiba bertukar wajah sebagai seorang yang tidak terurus dengan wajahnya agak hitam dan kusut masai. Dia terus menangis dan memeluk saya sambil menceritakan kisah sebenarnya yang berlaku ke atas dirinya sejak dia meninggalkan rumah.

Kisahnya sungguh sedih, saya membawanya minum di Coffee House di situ, dan Kak Normah menceritakan kisah seterusnya. Setelah dia mengikut Abang Ngah ke Terengganu hidup mereka agak terseksa. Dia terpaksa membuat keropok dan menjualnya untuk menyara hidupnya dan seorang anak yang ditinggalkan sendirian oleh suaminya. Apabila saya mempelawanya untuk pulang ke Kuala Lumpur, dia mulanya hanya mendiamkan diri dan tunduk menangis tanpa jawapan, kemudian dia terus meninggalkan saya. Harapan saya hampa.

Selang beberapa hari, ketika kami berkemas-kemas untuk berangkat ke Raub bagi meneruskan persembahan kami, tiba-tiba Kak Normah muncul sekali lagi dan kali ini wajahnya agak ceria. Dia terus memberitahu saya yang dia telah mengambil keputusan untuk mengikut saya pulang ke Kuala Lumpur dengan syarat dia tidak mahu tinggal bersama kami lagi, tetapi dia ingin tinggal bersama-sama ibu angkat yang disayangi iaitu Noorizan. Apabila saya bertanya tentang Abang Ngah kini berada di Kelantan kerana ada urusan. Saya tidak hiraukan sangat pasal Abang Ngah, cuma yang saya harap agar Normah pulang ke Kuala Lumpur dan biarlah dia tinggal bersama-sama Noorizan. Pada mulanya, Noorizan amat marah terhadap Normah, tetapi saya cuba memujuk Noorizan, akhirnya Noorizan bersetuju menerimanya. Apa yang saya dengar selepas itu, Kak Normah telah mendapat pekerjaan dan berkahwin lagi, dan sejak dari berita itu, saya tidak lagi bertemu dengan Kak Normah sehingga kini, dan begitu juga dengan adik angkat saya Betty. Cuma saya berharap mudah-mudahan jika kedua-duanya masih hidup dan terbaca apa yang saya ceritakan di dalam buku ini, segeralah menghubungi saya, kerana saya sangat rindu pada mereka berdua.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee  








No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078