Pages

Tuesday, March 8, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 44 Kejutan Peristiwa Di Jalan Bunga Kantan-Setapak



KEJUTAN PERISTIWA DI JALAN BUNGA KANTAN-SETAPAK


Ketika kami tinggal Jalan Bunga Kantan Setapak atau Taman Furlong bersama bapa, Mama Saloma, Ramli Kecik, Normah, Betty, Sazali, Abang Ngah dan seorang nenek tua sebagai penjaga rumah yang menjaga kami semua. Nenek juga memasak dan membantu Abang Ngah. Bapa saya setiap hari akan ke Studio Merdeka, kadang-kadang pulang lewat malam. Satu resmi bapa saya ialah suka bersembang. Kalau dah habis shooting pun, kadang-kadang duduk di kedai kopi dan bersembang dengan kawan-kawannya. Pernah dia memberi tahu kami, bila duduk bersembang perkara-perkara yang betul beliau banyak mendapat idea dari situ.

Saya masih ingat setelah beberapa minggu kami pindah ke sini, tiba-tiba satu pagi tercegat di muka pintu rumah kami cikgu tusiyen saya iaitu Cikgu Mat Nor. Kami mempelawanya masuk, dan saling bertanya khabar, kerana kami telah terpisah dengan beliau setelah kami berpindah ke Kuala Lumpur. Sebentar kemudian, bapa saya pun bangun dan ternampak Cikgu Mat Nor, bapa saya terus menegurnya "Eh! Bila kau sampai, kau naik apa?" Cikgu Mat Nor dengan ceria bersalam dan menjawab, "Naik teksi bang." Bapa saya bertanya lagi, "Kau dapat cari rumah ini?" Cikgu Mat Nor dengan tersengih menjawab," tanya teksi rumah P.Ramlee, semua orang tahu bang." "O.K. minum dulu, lepas tu ikut abang pergi studio." Saya nampak muka cikgu saya bukan main happy agaknya kerana dah lama tak bertemu bapa saya. Kami terus berbual-bual dengan dia sehingga bapa saya membawanya ke studio.

Ketika kami tinggal di sinilah, ramai kawan-kawan malah orang-orang yang ingin jumpa bapa saya sering datang untuk bertemu dengannya. Antaranya termasuklah Pak Cik Osman Abadi. Filem pertama arahan bapa saya di Studio Merdeka ialah Si Tora Harimau Jadian. Kemudian diikuti dengan berbagai-bagai filem lagi seperti Kancan Tirana, di mana Jins Shamsudin menjadi hero kedua. Ramai juga orang-orang dari berbagai-bagai persatuan yang datang untuk meminta bantuan dalam berbagai-bagai projek yang mereka rancangkan, biasanya bapa saya selalu saja menyampaikan hajat mereka. Satu daripada sifat bapa saya yang saya sering perhatikan dan saya kagumi, ialah dia tidak permah menolak sebarang permohonan daripada sesiapa yang meminta tolong daripadanya. Bukan sahaja pertolongan dari segi moral atau nasihat malahan wang ringgit. Dia tidak pernah mengecewakan sesiapa yang datang kepadanya, terutama yang datang dari Pulau Pinang tempat lahirnya.



SUMBER: Alahyarham Nasir P.Ramlee  


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078