Pages

Tuesday, March 8, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 46 Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi



HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI


Kehidupan kami semasa di Kuala Lumpur memang seronok, bapa saya sibuk dengan kerjanya di studio, dan kami di rumah dengan hal masing-masing, dengan bantuan dua pembantu rumah, iaitu Abang Ngah yang bersama kami sejak dari Singapura dan nenek yang kami anggap orang paling tua di dalam keluarga kami. Perkara yang tidak pernah terlintas dan terfikir di kepala kami, lebih-lebih lagi bapa saya, rupa-rupanya ianya berlaku dengan sekelip mata, dan amat memeranjatkan.

Pada satu malam sedang kami duduk bersembang, saya lihat kakak saya Normah seolah-olah tidak senang duduk, sekejap masuk, sekejap keluar. Sesekali dia memandang ke arah saya dan yang lainnya. Saya tidak terfikir apa-apa, sementara Abang Ngah pula sibuk berkemas untuk pulang ke kampungnya. Tiba-tiba saya melihat Normah turut mengemas baju-bajunya dan memasukannya ke dalam beg. Saya terus bertanya, "Kak Normah hendak ke mana ni?" dia menjawab sambil menundukkan kepalanya "Hendak bermalam di rumah kawan di Ampang."

Hati saya mula khuatir dan memikirkan sesuatu yang tidak elok. Saya terus bertanya kepada adik saya Betty, dia tidak menjawab hanya menangis. Saya semakin hairan, tetapi cuba mendiamkan diri. Abang Ngah memang akan pulang ke kampungnya esok pagi ke Beserah, tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa. Malam itu Normah pergi bersendirian ke rumah kawannya di Ampang. Dia keluar dengan selamba seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku, cuma dia sempat menoleh beberapa kali melihat rumah kami yang pernah dia diami itu. 

Pada keesokan harinya Abang Ngah pula pergi dengan agak tergesa-gesa, dia hanya mengucapkan selamat tinggal dan terus keluar dengan membawa begnya. Pada sebelah malamnya setelah bapaku pulang dari studio, dia kelihatan gusar dan agak gelisah. Dia bertanya nenek pembantu rumah mengapa Normah belum pulang-pulang lagi. Nenek agak tergaman dan memberitahu yang saya tentu tahu ke mana Normah pergi. 

Saya bertambah resah, kerana tidak tahu apa yang hendak dijawab, kerana bapa saya memang tidak benarkan anak-anaknya keluar meninggalkan rumah tanpa izinnya. Dia tidak mahu anak-anaknya merayau-rayau dan tidur di rumah orang sehingga tidak pulang rumah. Setelah saya terangkan, dia hanya mendiamkan diri. Selepas itu, dia bersuara dalam nada yang biasa,"Besok kalau dia pulang suruh jumpa Daddy." 

Sejak hari itu Normah yang kami sayang dan sering berbual mesra dengannya, akhirnya pergi dan tidak pernah kembali lagi. Betty juga rupanya telah membuat rancangan untuk mengikuti jejak Normah. Akhirnya dia juga meninggalkan rumah. Setelah disiasat kami mendapati rupanya Normah telah berjanji untuk menunggu abang Ngah di stesen bas dan mengikutnya ke Kuantan dan akhirnya mereka berkahwin. Ketika berita ini sampai kepada bapa saya, dia begitu marah dan mengingatkan kami supaya jangan cuba memujuk dan memanggilnya pulang. Bapa berkata, kalau betul-betul Ngah sukakan Normah, kenapa tidak berterus terang sahaja.

Sejak itu bapa saya kelihatan muram dan sedih sahaja, kerana dia tidak sangka perkara-perkara demikian berlaku di dalam rumah tangganya. Dia amat kesal dan amat tersentuh dengan peristiwa yang berlaku itu. Dia sangat menyayangi anak-anaknya, walaupun sebahagiannya adalah anak angkat. Sejak peristiwa itu, saya dapat melihat kesedihan dan kegelisahan jelas di wajah bapa saya. Lebih-lebih lagi sewaktu bapa saya bersendirian apabila Mama terpaksa bekerja di laur negeri di Bangkok. Bapa saya walaupun mempunyai masalah, dia sentiasa senyum dan ketawa agar nampak ceria, dia tidak pernah tunjukkan perasaan sedihnya kepada orang lain.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078