Pages

Wednesday, March 2, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 31 Kugiran Ben Puteh - Lima Merdu



KUGIRAN BEN PUTEH - LIMA MERDU



Pada awal tahun 70an, saya mula bekerja sama-sama dengan anak-anak Booty (Kasmah Booty). Kumpulan Booty Boys ini membuat pertunjukan di pesta-pesta (fun fairs) di seluruh negara. Saya bersama kumpulan itu menjelajah ke seluruh Malaysia. Setibanya saya di Kuantan, kebetulan P.Ramlee dan Saloma ada sebagai artis jemputan, jadi kumpulan saya terpaksa mengiringi lagu-lagu nyanyian mereka. Setelah habis persembahan, bapa saya memanggil saya dan memberitahu,"Nasir pulang ke Kuala Lumpur, di sana ada kelab yang hendakkan band." Kumpulan Booty Boys ini diketuai sendiri oleh Pak Booty. Dengan kumpulan ini pun saya tidak kekal lama. Kadang-kadang saya terfikir "Siapa yang tak betul, kumpulan ke atau diri saya?" Selepas itu saya beralih pula dengan kumpulan Pak Kojong (bapa kepada Yusni Jaafar). Ketika itu saya mendapat hanya RM30, makan minum ditanggung oleh Pak Kojong. Di dalam kumpulan ini kita banyak memainkan lagu-lagu Inggeris dan kumpulan ini sangat digemari ramai. Dalam kumpulan ini selain saya bermain alat muzik, saya juga berlawak, dan berlakon.

Akhirnya saya pulang ke Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah kelab malam di bangunan MARA. Kumpulan ini ialah kumpulan yang ditubuhkan oleh bapa sendiri dengan nama "Ben Puteh Lima Merdu". Saya agak tidak selesa dengan kumpulan itu, kerana lagu-lagu yang mereka dendangkan kebanyakannya adalah lagu-lagu lama, bukan lagu-lagu terkini, dan ini yang menyebabkan saya tidak berminat. Saya sendiri ketika itu dengan rambut panjang hingga ke bahu, sedangkan yang lain berambut pendek malah ada yang tidak mempunyai rambut. Saya memang mengikut perkembangan muzik dan sezaman dengan saya. Saya juga kurang senang kerana ahli-ahli kumpulannya semua tua-tua, sebaya dengan usia bapa saya. Saya hanya dapat bekerja dengan kumpulan bapa saya hanya untuk dua minggu sahaja. Akhirnya saya sendiri menubuhkan kumpulan yang saya namakan "Ben Ramlee". Saya bermain "side by side" dengan bapa saya, kerana dia juga turut serta dalam kumpulan itu. Dia bermain lagu-lagu evergreen sementara saya pula dengan lagu-lagu disko yang agak bising bunyinya. 

Setelah sebulan kami bekerja di kelab itu, kami masih belum mendapat gaji. Pengurus kelab tersebut tidak mahu membayar gaji kami dan inilah menyebabkan bapa saya marah dan memberi amaran kepada pengurus itu. Akhirnya pengurus terpaksa membayar gaji kami, tetapi hanya separuh sahaja. Sejak dari hari itu saya mula bergaul dengan berbagai-bagai kumpulan dan akhirnya saya mendapat tawaran bermain di Merlin Hotel. Hendak dijadikan cerita, pada satu hari sahabat saya pemuxik terkenal Ahmad Wan Yet datang ke rumah kami, kebetulan Ahmad Wan Yet sedang mencari seorang pemain bass untuk bermain di Hotel Merlin. Bapa saya pula dengan yakin telah merekemenkan saya untuk bekerja dengan Ahmad Wan Yet. Pada mulanya saya dapat melihat yang Ahmad Wan Yet seolah-olah tidak mempercayai kebolehan saya, tetapi kerana dia kawan bapa saya, mungkin dia terpaksa mengambil saya. Dia biasa bekerja dengan bbapa saya semasa di studio Jalan Ampas. Pada mulanya saya merasa gementar, maklumlah sebuah hotel besar dan terkenal, takut-takut tak diterimanya, tetapi saya cekalkan hati. Pada jam dua petang dengan ditemani bapa saya dengan mama Saloma, kami terus pergi dengan temu duga dengan membawa gitar sendiri. Sesampainya kami, saya nampak Ahmad Wan Yet sedang menunggu kami dengan muzik-muzik yang lain, Dengan tidak berlengah, saya diberi beberapa muzik sheet dan kami pun bermain lagu-lagu itu. Dalam hati berkata, "Ai, senang betul lagu ini" tak ada masalah. Saya beruntung kerana boleh membaca nota-nota muzik secara profesional. Setelah itu kami duduk di Coffee House untuk berbincang.


Dan akhirnya saya diterima bekerja di tempat itu. Pada tahun 1971 bermulalah kisah hidup saya sebagai pemain muzik di hotel terkenal Merlin dengan gaji sebanyak RM1500. Saya diberi bilik untuk tinggal sementara di hotel itu. Cuba bayangkan ketika itu seribu lima ratus ringgit memang amat lumayan dan dapat tinggal di hotel tanpa bayaran pula. Gaji pertama yang saya terima, saya beri sebagai hadiah kepada bapa sebanyak RM50, dan kepada mama juga sebanyak RM50. Kemudian saya mengajak mereka semua makan di luar. Kepada adik-adik saya beri RM10 seorang dan manakala nenek yang bekerja di rumah saya beri RM20. Wah bukan main bangga sekali bapa saya ketika itu, habis diceritakan kepada semua kawan-kawan di studio. Maklumlah anak pertama dan gaji pertama diberi kepadanya. Sejak dari hari itu saya bekerja dengan tekun, sehingga mendapat gelaran pemain muzik muda yang terbaik. Sekiranya ada artis-artis atau pemuzik-pemuzik dari laur datang, penganjur akan mencari saya untuk menjadi pemuzik iringan. Ketika bekerja di hotel tersebut, saya mendapat sebuah bilik, dan jika kepingin hendak makan masakan nenek, saya akan pulang ke rumah.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078