Pages

Thursday, March 10, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 58 Rumah Bapa




RUMAH BAPA


Suka saya jelaskan di sini tentang "Apa yang P.Ramlee miliki" Sepanjang hidupnya Allahyarham hanya tinggal di rumah yang disediakan oleh pihak Shaw Brothers, sejak dari Studio Jalan Ampas,membawa kepada Boon Teck Road, dan akhirnya berpindah ke Yarrow Garden di Siglap, kemudian  berpindah pula ke MacPherson Road. Setelah berpisah dengan Noorizan, maka kami berpindah pula ke rumah teres di Cedar Avenue sehinggalah akhirnya berpindah pula ke Kuala Lumpur. Sesampainya di Kuala Lumpur, kami menginap sementara di Peninsular Hotel (di belakang Bank Rakyat) sekarang ini. Setelah beberapa minggu, akhirnya pihak Shaws menyediakan pula sebuah rumah banglo di Jalan Bunga Kantan (Taman Furlong) sekarang sudah ditukar ke Taman P.Ramlee. Beberapa lama tinggal di situ, akhir sekali kami berpindah ke sebuah rumah banglo rendah tidak jauh dari Jalan Bunga Kantan, iaitu di Jalan Bunga Dedap sehinggalah hari-hari terakhir P.Ramlee dan sehingga kami terpisah semuanya.

P.Ramlee tidak mempunyai harta seperti rumah atau tanah yang setaraf dengan namanya yang besar, lebih-lebih lagi sekarang ini walaupun sudah bergelar Tan Sri. Tetapi saya bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana sewaktu hidupnya, bapa saya tidak memikirkan apa akan jadi setelah dia tiada, ke mana hala tuju anak-anaknya, ini kerana dia adalah anak seni sejati yang memperhambakan diri kepada seni, bukan seperti sesetengah anak seni hari ini yang hidup kaya raya, mempunyai pengurus, dan penuh kemewahan. Walau bagaimanapun, saya harus berterima kasih kepada Allahyarham Salleh Ghani, kerana beliaulah yang  menggesa bapa saya agar memikirkan untuk membeli rumah sendiri. Pernah saya mendengar percakapan mereka, kata Salleh Ghani,"Ram,you tak hendak beli rumah sendiri ke? Beli rumah I sudahlah." Mungkin waktu itu beliau baru terfikir untuk memiliki rumah sendiri, maka dia bersetuju membeli rumah Salleh Ghani. Walaupun begitu, kami tidak tinggal di situ, uncle Ahmad Nawab yang menyewanya, kemudian diganti pula oleh Omar Nawab, ini semua sebelum dia meninggal dunia.

Setelah bapa saya meninggal dunia, Saloma hanya menetap di situ untuk seketika sahaja, kemudian Saloma berpindah ke Petaling Jaya, dan rumah itu didiami pula oleh Mimiloma. Setelah Mimiloma berpindah, rumah itu masih kosong. Setelah Saloma meninggal, saya bersama-sama isteri saya yang kedua tinggal di rumah tersebut, tetapi malangnya setelah saya bercerai  dengan isteri kedua, rumah itu kosong semula. Setelah saya berkahwin dengan isteri ketiga, iaitu isteri saya sekarang ini, maka barulah saya menetap semula di rumah tersebut bersama-sama dengan keluarga saya. Yang anehnya rumah itu masih atas nama "Federal Territory" Saya membuat keputusan untuk mengambil alih dan menukar nama ke atas nama saya, maka saya memanggil semua adik-adik angkat saya Sazali, Armali (anak Saloma bersama A.R.Tompel), Sabaruddin. Hal ini disaksikan oleh seorang peguam (perempuan) dan Dato Zakiah Hanom.

Timbul sedikit perasaan kurang senang antara mereka (adik beradik angkat saya). Mereka tidak bersetuju jika rumah itu ditukar atas nama saya seorang, tetapi pihak peguam memberitahu yang berhak ialah anak P.Ramlee, dan saya adalah satu-satunya anak kandung P.Ramlee. Akhirnya mereka akur dan sehingga ke hari ini rumah itu menjadi milik saya dan saya tidak lupa dengan adik-adik saya yang lain. Betul-betul macam filem Tiga Abdul yang diarahkan oleh bapa saya. Jadi inilah sahaja harta atau rumah peninggalan bapa saya, sebuah rumah deret bawah yang hanya mempunyai dua bilik bertempat di Jalan Sempadi daerah Setapak. Bukan rumah banglo atau semi-D. Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana sungguhpun kecil itulah rumah kepunyaan P.Ramlee. Saya tidak berasa malu, walaupun nama bapa saya besar dalam dunia seni, tetapi rumah yang dimilikinya agak kecil dan tidak setanding dengan namanya, tetapi itulah rumah kepunyaan P.Ramlee. Setelah saya membuat sedikit pengubahsuaian dengan wang yang saya dapat daripada hasil royalti yang tidak seberapa, maka dapatlah saya anak beranak menumpang berteduh di dalam pondok peninggalan bapa saya P.Ramlee



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078