Pages

Friday, March 11, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 61 Nasib Tuah Mendatang




NASIB TUAH MENDATANG



Ini adalah satu peristiwa yang datang tanpa dirancang dan semuanya adalah dengan kehendak yang maha berkuasa. Peristiwa ini menjadi satu kenangan manis bagi saya, isteri anak-anak. Ketika saya anak beranak mengahrungi lautan kesusahan dan kesempitan untuk menyara hidup anak isteri, tiba-tiba pada satu saat datang undangan untuk saya ke majlis makan malam yang agak berprestij kerana di dalam majlis itu terdapat ramai para jemputan orang-orang kenamaan, termasuk Tan Sri-Tan Sri, Dato-Dato dan tidak ketinggalan pemimpin negara seperti bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya pula duduk di meja makan bukan VIP, hanya bersama orang-orang biasa saja. Kebetulan juga meja kami berhampiran dengan laluan mereka yang pergi ke bilik air. Sedang kami asyik menjamu selera, Dato Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu tiba-tiba menghampiri saya. Dalam pertemuan ringkas yang tidak lebih sepuluh minit itu, beliau sempat bertanya khabar kepada saya, dan dengan gaya loghat Kedah, beliau bertanya, "Apa you buat sekarang?" dan saya dengan penuh hormat menjawab, "Tak buat apa-apa Dato', hanya berjualan buah-buah dan nasi lemak di tepi jalan berdekatan rumah saya, itu pun kadang-kadang DBKL datang melarangnya", Dato Seri Dr Mahathir dengan tersenyum berkata, "Tentulah, salah jual tepi jalan, tak ada lesen." Kemudian beliau berkata lagi, "Tak ada orag beritahu pun," dan saya hanya ketawa sahaja. Kemudian beliau pun beredar. Di dalam hati ini berkata, "Mudah-mudahan Dato Seri dapat memahami keadaan kehidupan saya kini."

Perkara itu berlalu hampir dua minggu tanpa sebarang berita, tindakan atau simpati dari mana-mana pihak. Tiba-tiba pada suatu hari saya dipanggil oleh YB Dato' Sheikh Fadzir, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Perlancongan ketika itu untuk ke Kementeriannya. Saya dengan tidak membuang masa, terus pergi menemuinya di pejabatnya. Bersyukur Alhamdulillah, rupa-rupanya ada pihak yang bersimpati dengan keadaan saya ketika itu. Akhirnya saya diberi satu jawatan khas di bawah Kementerian itu melalui Istana Budaya. Jawatan saya ialah sebagai Penyelaras Kombo Istana Budaya. Maka saya menerima dengan penuh senang hati dan bermulalah tugas saya di Istana Budaya. Sejak hari itu saya tidak pernah melupakan jasa baik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Perlancongan Malaysia, Dato' Sheikh Fadzir, kerana kedua-dua mereka telah memberi saya satu nafas baru dalam melangkah ke arena yang baru untuk saya. Budi dan jasa mereka akan tersemat di hati sehingga ke akhir saya.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078