KUALA LUMPUR - Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi subjek Adab I dan II yang dijadual
hari ini, ditangguhkan ke satu tarikh dimaklumkan kemudian.
    
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata
ia susulan pengumuman penutupan sekolah di daerah Langkawi oleh Kementerian Pendidikan
semalam. ‎


"Maka, pelaksanaan peperiksaan UPKK kepada 207,343 calon yang diselaraskan Jakim di seluruh 
negara bagi kedua-dua subjek itu esok, adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu 
kemudian," katanya dalam kenyataan malam tadi.     



Beliau berkata semua agensi bertanggungjawab melaksanakan Kafa diharap dapat mengambil tindakan 
segera terhadap arahan terbaru itu.     



Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam, mengumumkan semua sekolah di seluruh 
negara dibuka seperti biasa hari ini kecuali Langkawi yang masih mencatat bacaan Indeks Pencemaran 
Udara (IPU) tidak sihat.
    
Setakat 7 malam semalam, bacaan IPU dicatatkan di Langkawi ialah 158. - Bernama


Sumber : Sinar Online