Pages

Wednesday, October 14, 2015

MH 17 Ditembak Jatuh Peluru Berpandu

MH17

KUALA LUMPUR - Lembaga Keselamatan Belanda mengesahkan pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine tahun lepas.

Pengerusinya Tjibbe Joustra berkata peluru berpandu itu meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.
"MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara BUK," katanya ketika membentangkan laporan akhir tragedi MH17 di pangkalan udara Gilze-Rijen, Belanda pada Selasa, yang disiarkan secara langsung melalui media antarabangsa.

Pesawat MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.
Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, terkorban.

Joustra berkata, siasatan mendapati bahawa MH17 terbang secara normal sehingga pada masa kejadian, apabila pesawat itu melintasi ruang udara timur Ukraine.
  
Beliau berkata pada 13.20 UTC (Waktu Universal Selaras) peledak 9N314M yang dilancarkan menerusi sistem peluru berpandu darat ke udara BUK dari kawasan 320 kilometer persegi di bahagian timur Ukraine, meledak di sebelah kiri dan atas kokpit.
  
"Bahagian hadapan pesawat itu ditembusi oleh beratus-ratus objek berkuasa tinggi daripada bahan peledak tersebut.
  
"Berikutan daripada impak dan letupan berikutnya, tiga anak kapal dalam kokpit terbunuh serta-merta dan pesawat itu berkecai di udara," katanya.
  
Beliau berkata, bangkai pesawat terbabit bertebaran di pelbagai tempat dalam  jarak kawasan 50 kilometer persegi dan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terkorban.
  
Laporan itu dikeluarkan selepas 15 bulan siasatan dijalankan oleh pasukan siasatan bersama terdiri dari Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia.
  
Joustra berkata, Lembaga Keselamatan Belanda telah mengenal punca nahas itu berdasarkan beberapa sumber termasuk sistem senjata digunakan, antaranya bentuk kerosakan pada bangkai pesawat, serpihan dijumpai di dalam bangkai pesawat dan mayat anak kapal, serta bagaimana pesawat itu berkecai.  
  
Beliau berkata penemuan itu juga disokong oleh data dalam perakam penerbangan yang mana Perakam Suara Kokpit merakam bunyi semasa saat-saat akhir sebelum insiden itu.
  
Joustra berkata Lembaga Keselamatan Belanda juga menolak punca-punca lain yang berpotensi seperti letupan di dalam pesawat atau peluru berpandu udara ke udara.
  
"Tiada senario selain daripada peluru berpandu darat ke udara BUK yang boleh menjelaskan gabungan fakta ini," katanya.
  
Joustra berkata siasatan itu juga menolak kemungkinan berlaku kerosakan teknikal pada pesawat, serangan peluru berpandu udara ke udara dan melanggar tahi bintang sebagai punca tragedi itu.
  
Mengenai lokasi tepat peluru berpandu itu dilancarkan, Joustra berkata siasatan tambahan forensik adalah diperlukan untuk mengenal pasti lokasi tepat bahan peledak itu dilancarkan.  
  
Beliau, bagaimanapun berkata siasatan itu adalah di luar bidang kuasa Lembaga Keselamatan Belanda.
  
Berkaitan ruang udara di bahagian timur Ukraine, beliau berkata ruang udara itu sentiasa digunakan yang mana antara 14 dan 17 Julai 2014, 61 pengendali dari 32 negara menghalakan penerbangan mereka melintasi ruang udara itu.
  
"Pada hari kejadian sehingga ruang udara itu ditutup, 160 pesawat komersial terbang di ruang udara berkenaan," katanya.
  
Beliau berkata Malaysia Airlines menyedia dan mengendalikan pesawat MH17 mengikut peraturan dan undang-undang.

"Sebagai negara pesawat itu berlepas, Belanda tidak mempunyai tanggungjawab untuk menasihati Malaysia Airlines (atau KLM sebagai rakan kongsi kodnya) berhubung pemilihan laluan penerbangan," katanya.
  
Pada 14 Julai lepas, lima negara iaitu Malaysia, Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa bagi tujuan pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah dengan menembak jatuh MH17.
  
Bagaimanapun, Rusia menggunakan hak veto dalam Majlis Keselamatan PBB bagi menghalang cadangan penubuhan tribunal itu pada 30 Julai lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078