Akhbar Britain, Mirror me­laporkan, hari pertamanya sebagai pengurus Liverpool dimulakan dengan memberi amaran kepada pemain-pemain dengan memberitahu bahawa mereka perlu menurut arahannya atau mereka boleh berambus.

“Kami perlu melakukannya dengan satu cara sahaja iaitu cara saya. Mereka perlu mendengar apa saya kata, itu sangat pen­ting,” kata bos baru Liverpool itu.

“Jika anda meme­gang bola, anda perlu kreatif tetapi anda perlu bersedia apabila anda kehilangan bola anda mesti berusaha mendapatkannya semula. Ini sangat penting dalam bola sepak. Ini bukan satu cadangan, ini adalah undang-undangnya.

“Anda tidak boleh berfikir ‘Ummmm…’ Anda perlu melakukannya - dan anda mesti. Inilah yang kita semua perlu belajar.

“Saya percaya adalah lebih baik ada 11 pemain me­lakukan perkara sama yang salah berbanding semua orang buat mengikut apa yang mereka suka,” katanya.

Klopp berkata jika dia masih kekal dalam tempoh empat tahun ini, maka itu adalah di­sebabkan kerana menang sekurang-kurangnya satu kejuaraan.

Dia menjelaskan jika mendapat kontrak baharu kerana memenangi trofi Liga Perdana itu adalah disebabkan dia berjaya melakukannya mengikut caranya sendiri, kerana dia menegaskan dia adalah bos di Anfield.

Klopp juga me­ngakui keributan yang mengelilingi pelantikannya “adalah situasi paling gila” yang dia pernah terlibat.

Bagaimanapun dia memberi amaran apabila tugasan sebenarnya bermula hari ini, dia akan memulakan dengan mencari siapa yang mahu menjadi sebahagian daripada revolusi di Anfield.