SEREMBAN - “Saya reda, itu bahagian dia. Apa lagi saya nak persoalkan,” kata Mustafa
Abdul Samad, 84, bapa kepada pramugari MAS pesawat MH17 yang ditembak jatuh di
sempadan Ukraine - Rusia, tahun lalu.


Menurut Mustafa, sehingga kini, kehilangan anak bongsunya, Mastura Mustafa masih 
dirasai kerana selama ini Allahyarham tinggal bersama dengannya.



“Terasa jugalah kehilangan dia sebab dulu ke mana-mana arwah bawa saya dan 
dia uruskan semuanya.



“Tapi sekarang saya kena buat sendiri. Kalau dulu arwah ada, dia yang masak. Sekarang
 saya hanya masak nasi dan beli lauk sendiri di luar," katanya ketika ditemui di 
rumahnya di Kampung Sentosa, Paroi, di sini, kelmarin.



Mustafa berkata, dia tidak mengharapkan apa-apa melainkan mahu Allahyarham tenang 
‘di sana’.



“Lagipun pampasan pun dah dapat, apa lagi kita nak persoalkan. Sekarang ini saya hanya 
fikir mahu perbanyakkan amal jariah. Duit pampasan itu pun saya ada gunakan untuk 
naik taraf Madrasah Al-Ma’mum Blok A, Kampung Sentosa di sini," katanya.



Menurutnya, dia sentiasa mengikuti perkembangan berita mengenai tragedi MH17 
dan masih menyimpan setiap keratan akhbar mengenai kejadian itu.



Bagaimanapun, katanya, hatinya sedikit terubat apabila anak-anak lain dan cucu sering 
datang ke rumah menjenguknya.



“Anak arwah (Muhriz Marzaini, 11) selalu telefon saya. Kadang-kadang saya pun telefon 
dia tanya khabar. Dia nampak gembira tinggal bersama ayahnya di Ipoh,” katanya.


Sumber : Sinar Online