KOTA BHARU - Waris kepada dua kanak-kanak hilang di Post Tohoi, Gua Musang bersyukur selepas kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat.
Ibu kepada salah seorang mangsa, Midah Angah, 40, berkata, walaupun keadaan anaknya, Noreen Yaacob, 10, lemah namun dia bersyukur kerana anaknya selamat.
"Memang sebelum ini saya sudah putus harapan, memandangkan kehilangan dua anak saya Noreen dan Haikal bersama rakan mereka tidak dapat dikesan.
"Namun apabila menerima berita penemuan Noreen yang masih hidup pagi kelmarin, saya amat gembira namun masih berharap Haikal adik kepada, Noreen turut ditemui.
Midah berkata, keadaan Noreen amat lemah dan kini hanya mampu makan makanan lembut seperti bubur dan kurang bercakap.
"Walaupun adiknya Haikal masih hilang dan dipercayai dihanyutkan arus, saya berharap dia juga turut ditemui dan terus berdoa, biarpun dalam keadaan apa jua sekalipun.
Sementara itu, bapa saudara seorang lagi mangsa Missudiar Aluj 11, Akid Bahir, 46, berkata setakat ini anak saudaranya tidak banyak bercakap.
"Dia banyak mendiamkan diri berbanding sebelum kehilangannya, Apapun kami ucap terima kasih kepada semua yang banyak membantu,"katanya.
"Buat masa ini dia ditemani ibunya, Rosita yang merupakan adik saya, memang ibunya juga dalam keadaan terkejut dan banyak mendiamkan diri,"katanya.
Sumber : Sinar Online
No comments:
Post a Comment