PERLAWANAN bola sepak Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam di sini
malam ini dibatalkan berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk, kata Pengerusi
Jawatankuasa Penganjur, Tan Sri Abd Karim Munisar.
    
Beliau berkata, pembatalan itu dilakukan setelah mendapat perkenan Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara
 (IPU) di kawasan Shah Alam sehingga pukul 5 petang ini mencatatkan 135 iaitu di tahap
tidak sihat.


"Baginda telah menitahkan Piala Sultan Selangor 2015 dibatalkan kerana baginda
mengambil kira faktor kesihatan pemain, pengunjung serta seluruh rakyat di negeri ini.  

"Tuanku Sultan sentiasa memantau perkembangan keadaan jerebu dan rakyat di negeri
ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pengumuman mengenai bayaran balik tiket perlawanan akan dibuat
dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Abd Karim berkata perlawanan Piala Sultan Selangor tidak akan diadakan
tahun ini, malah akan diadakan tahun depan di mana lokasi penganjuran akan kekal di
Stadium Shah Alam.

Piala Sultan Selangor, yang bermula pada tahun 2001, dijadualkan pada pukul 9
malam ini, membabitkan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura.

Turut diadakan perlawanan antara pasukan Veteran Selangor dan Veteran Singapura di
gelanggang sama sejam sebelum itu.


Sebagai rekod, Pilihan Selangor telah menjuarai piala itu sebanyak tujuh kali iaitu pada
2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013 dan 2104 manakala Pilihan Singapura lima kali pada
2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011.
    
Pada edisi 2004, kedua-dua pasukan diisytiharkan sebagai juara bersama selepas seri 2-1
di Stadium Nasional Singapura. 


Sumber : Sinar Online