Pages

Wednesday, October 7, 2015

MH 17 Dalam Kenangan Bab 2

TAWARAN KE UKRAINE

Malam Khamis ( 17 Julai 2014 ), saya berbuka puasa bersama kawan di luar. Habis berbuka saya terus balik ke rumah. Saya buka twitter. Saya nampak tulisan 'Pesawat MAS MH 17 terhempas. Saya terfikir, macam hendak pergi, orang di Ukraine bukan boleh cakap Bahasa Inggeris. Saya pun tidak kisah hal itu. Sebenarnya, saya sedang membuat persiapan untuk ke Gaza dan sedang menanti panggilan dari sekerariat berkenaan untuk ke Gaza.

Saya langsung tidak menjangka  akan ditawarkan ke Ukraine. Pesawat MH 17 terhempas Khamis malam Jumaat waktu Malaysia. Hari Jumaat ( 18 Julai 2014 ) saya cuti. Lebih kurang jam 12 tengahari, saya mendapat panggilan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Dalam perbualan di telefon bimbit, beliau berkata: "Malaysia hendak hantar satu kumpulan ke Ukraine dan kita perlukan penterjemah."

Sebelum itu, saya sudah mengenali Datuk Seri. Beliau pernah datang ke Russia dan saya yang menguruskan semua hal Datuk Seri bersama rombongan ketika itu. Saya belajar di Russia dan bila balik Malaysia, Datuk Seri memang tahu saya boleh bercakap Russia. Perasaan saya ketika itu Datuk Seri memaklumkan perlu penterjemah, saya terus terfikir tentang mak di kampung. Kebetulan, hari Jumaat pagi, lepas subuh, mak menghubungi saya. Saya angkat telefon bimbit dan mendengar suara mak menangis.

Saya tanya : "Kenapa mak menangis ni.... mak."

Mak saya jawab; "Tak ada.... ada kapal terbang tu terhempas. Mak takut la anak mak.....".

Dengan pantas saya jawab; "Ala tak ada apa.... orang ada kat sini lagi.... kat rumah ini....".

Selepas itu saya terfikir macam mana hendak beritahu mak saya yang saya kena pergi Ukraine. Dalam masa yang sama, saya tak dapat lagi berbincang lagi dengan isteri saya dan engan sesiapa pun. sebab masa itu, Datuk Seri hendak jawapan segera. Ketika Datuk Seri berkata, Malaysia perlukan penterjemah, saya pun jawab; "Ok tak apa Datuk, saya terima."

Hari Jumaat yang sama juga, seketariat untuk ke Gaza menghubungi saya memaklumkan nama saya digugurkan dari menyertai misi ke Gaza. Selepas saya bersetuju untuk ke Ukraine, timbul masalah pula macam mana hendak beritahu isteri yang saya akan ke Ukraine. Sebelum ini, isteri saya tahu, saya akan ke Gaza dan sudah membuat persiapan awal. Saya terpaksa bercakap dengan isteri; "Abang kena pergi ke Ukraine, siapkan barang-barang."

Penerimaan isteri saya ketika itu masih ok lagi. Masa itu emak mertua saya berada di luar rumah. Saya tanya ibu mertua; "Ibu hendak pasport". Dengan nada terkejut ibu mertua saya bertanya; "Hendak pergi ke mana". Saya jawab; "Hendak pergi Ukraine".

Masa itu semua terdiam, terkejut. Saya mendapat panggilan telefon pukul 12 tengahari Jumaat. Pihak yang menghubungi saya berkata, jika bersedia untuk pergi, pukul 3 petang mesti ada di KLIA sebab pesawat akan terbang pukul 6 petang iaitu hari yang sama ( Jumaat ). Walaupun saya menerima amanah itu tetapi perasaan saya tetap takut. Takut disebabkan saya diamanahkan sebagai penterjemah.

Saya dimaklumkan, saya seorang penterjemah untuk pasukan dari Malaysia seramai 133 orang. Tugas penterjemah untuk menghubungkan dua pihak. Jika penterjemah salah faham apa yang pihak mereka sampaikan, penterjemah akan sampaikan perkara yang salah. Ia akan menjadi perkara perkara yang terbalik. Dalam perasaa yang takut, saya gagahkan diri. Saya terfikir, perkara ini satu keperluan dan ketika itu khidmat saya diperlukan.  

Hendak kata bangga sebab terpilih menjadi penterjemah ke Ukraine, memang tidak ada perasaan bangga langsung. Perasaan takut, adalah. Perasaan yang saya rasa, jika saya tidak ada dalam misi itu, bila lagi saya akan berkhidmat untuk negara. Saya pergi dengan satu keazaman hendak membantu "Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia "Smart Team" bagi menyelesaikan dan mengenalpasti jasad mangsa pesawat MH 17 yang terhempas secepat mungkin. Saya berusaha akan menjalankan amanah ini dengan sempurna bersama "Smart Team".

Malaysia menghantar 133 orang terdiri pasukan Polis Forensik, perubatan forensik, smart team, pauskan media, pegawai majlis keselamatan negara, ATM, Jakim, dan jabatan Kimia Negara. Pada asalnya saya diberi amanah menjadi penterjemah untuk unit media. Mungkin tugas itu agak berat tetapi saya rasa ok. Ini kerana saya beranggapan mungkin media hanya hendak mengetahui maklumat yang boleh diperolehi daripada penduduk tempatan. Kami bertolak dari KLIA jam 9 malam Jumaat. sampai di Lapangan Terbang Borispol, Kiev jam 7 pagi Sabtu. Kami terpaksa menunggu hingga lima jam untuk urusan visa. Kami dimaklumkan tidak boleh ke Donestk kerana kawasan tersebut masih dalam zon perang dan tidak selamat. Kami ditempatkan di hotel President, Kiev.

Kami pergi kedutaan Malaysia. Saya terus dipanggil untuk menghadiri mesyuarat.Dalam mesyuarat itu, saya dimaklumkan dalam kumpulan Malaysia hanya seorang sahaja penterjemah. Ketua misi, saudara Hilmi bercakap dengan saya; "Saya tahu doktor adalah doktor perubatan dan doktor boleh bercakap bahasa Russia." "Sekarang doktor perubatan sudah tidak ada dalam kumpulan kita. Doktor tersebut sudah menyertai misi satu lagi. Kita hendak doktor bersama kita. Disebabkan doktor boleh bercakap bahasa Russia banyak kumpulan yang perlu berinteraksi dengan orang tempatan, 'katanya.

Tugas pertama saya perlu menguruskan kumpulan dari JAKIM. Pertama mencari masjid. Ketika itu, saya dapat berjumpa dengan Timbalan Mufti Ukraine, Sheikh Khusameddin Khalavani. Kami berbincang bagaimana hendak menguruskan jenazah mangsa. Kita bimbang konsep yang dilakukan di Malaysia berbeza di Ukraine. Itu yang perlu diadakan perbincangan. Sebelum itu, pasukan Malaysia tidak merancang hendak membawa jenazah dari Ukraine ke Amsterdam. Perancangan kita hendak menyelesaikan pencarian dan mengenalpasti jasad mangsa MH 17 di Ukraine dan menghantar balik ke Malaysia dengan segera.

Dalam perbincangan bersama Timbalan Mufti Ukraine kami dapat banyak maklumat. Antaranya persemadian jenazah, hospital mana serta kelengkapan yang perlu disediakan. Alhamdulillah, mereka faham dan memberi kerjasama yang sangat bagus. Kebetulan pula, Syeikh Khusameddin mengenali Imam dari Malaysia iaitu Imam Putrajaya, Abdul Manaf  Mat. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan kami di sini.

Sumber : Dr Mohd Akmal Salleh

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078