JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mencipta sejarah apabila berpeluang beraksi di pentas final Piala
 AFC selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menggantung Persatuan Bola Sepak
Kuwait (KFA) semalam.


Keputusan itu menyaksikan tiada pasukan dari Kuwait dibenarkan beraksi di pentas antarabangsa 
termasuk juara bertahan Piala AFC, Qadsia SC yang akan menentang JDT pada separuh akhir
 kedua di Stadium Larkin, Johor Baharu, Selasa ini.



Selain itu, sebuah lagi kelab dari negara itu, Kuwait SC tidak dapat meneruskan cabaran pada
 separuh akhir kedua Piala AFC apabila dijadual menentang kelab dari Tajikstan, FC Istiklol di
 Dushanbe, Rabu ini.



Berikutan keputusan itu, JDT kini akan menentang FC Istiklol di final pada 31 Oktober ini, 
demikian menurut laman Facebook rasmi pasukan Harimau Selatan hari ini.



Pada separuh akhir pertama 29 September lepas, Qadsia SC mengalahkan JDT 3-1 di 
Stadium Kelab Kuwait manakala Kuwait SC mengalahkan FC Istiklol 4-0 pada hari berikutnya 
di venue yang sama.



"Tahniah kepada JDT kerana melakar sejarah menjadi wakil pertama negara tampil di perlawanan
 final Piala AFC.



"Ini adalah peluang hebat untuk pasukan dan penyokong Harimau Selatan menyaksikan JDT 
mencipta sejarah sekali lagi dalam perjalanan bola sepak mereka," menurut kelab itu.



Menurut kenyataan rasmi FIFA dalam laman sesawang badan itu, www.fifa.com, penggantungan
 itu berkuat kuasa serta-merta susulan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FIFA pada 24 dan 25 
Sept lepas.



"Penggantungan itu akan hanya ditarik balik apabila KFA dan ahli-ahlinya (kelab) dapat 
menjalankan aktiviti dan tanggungjawab mereka secara bebas.



"Hasil daripada keputusan ini, tiada pasukan dari Kuwait termasuk kelab boleh mempunyai 
sebarang hubungan sukan antarabangsa mahupun KFA atau mana-mana anggotanya atau 
pegawainya boleh mendapat manfaat daripada sebarang program pembangunan, kursus 
atau latihan daripada FIFA atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)," katanya. 


Sumber : Sinar Online