Pages

Friday, October 2, 2015

Ibu Bapa Diminta Mendapatkan Maklumat Tentang Jerebu

Jerebu


MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka meminta ibu bapa mendapatkan maklumat berhubung penutupan sekolah kerana jerebu di negeri itu menerusi pihak bertanggungjawab bagi mengelak kekeliruan yang menjejaskan persekolahan anak-anak mereka.

   
Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Md Yunos Husin berkata maklumat itu perlu diperoleh daripada Jabatan Pelajaran Melaka, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan pihak sekolah dan bukannya menerusi media sosial seperti Facebook atau aplikasi WhatsApp.
    
Beliau berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu berhubung penutupan sekolah ekoran jerebu melanda negeri ini dan meminta
orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak diketahui kesahihannya.
    
"Keadaan ini akan mengelirukan ibu bapa kerana maklumat sebenar dari pihak Jabatan Pelajaran Melaka dan sekolah adalah bertentangan dengan apa yang disebarkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sekolah Perintis
Inisiatif Tanpa Tunai MyMelakaKAD di sini hari ini.
    
Katanya pada masa ini situasi jerebu di negeri ini masih berada di tahap terkawal dan kerajaan negeri serta Jabatan Pelajaran Melaka sentiasa memantau keadaan tersebut.
    
Md Yunos berkata, ibu bapa dinasihatkan membenarkan anak-anak mereka ke sekolah seperti biasa sehingga arahan penutupan sekolah dikeluarkan Kementerian Pendidikan.



Katanya, anak-anak yang menghadapi penyakit kritikal terutama asma dibenarkan untuk berehat di rumah tetapi ibu bapa perlu memaklumkan perkara tersebut dengan pihak sekolah atau PPD masing-masing.



Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu risau tentang kesihatan anak-anak mereka kerana semua aktiviti di luar bilik darjah telah dihenti sehingga keadaan jerebu kembali pulih.


Dalam perkembangan lain, Md Yunos berkata penggunaan MyMelakaKAD di sekolah dan institusi pengajian tinggi di negeri itu akan diperluaskan dalam usaha menjadikan Melaka sebagai 'Negeri Tanpa Tunai'.
    
"Sehingga kini Melaka telah mempunyai lebih 1,000 outlet yang menerima transaksi pembayaran menerusi penggunaan MyMelakaKAD dengan kerjasama Touch n' Go Sdn Bhd dan kita mengharapkan lebih ramai rakyat Melaka akan menggunakan kemudahan ini," katanya.
    
Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Syarifah Rodziah di sini merupakan sekolah perintis bagi aplikasi MyMelakaKAD di peringkat sekolah melalui penggunaan kad pelajar. - Bernama


Sumber : Sinar Online

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078