KUALA LUMPUR - Keadaan jerebu di seluruh negara semakin pulih dengan tiada kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, sebaliknya hanya bacaan IPU sederhana direkodkan setakat 2 petang ini.


Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), sejumlah 38 kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana antaranya Port Dickson (99); Bandaraya Melaka (92); Bukit Rambai (91); Cheras, Kuala Lumpur (90); Banting (86); Pelabuhan Klang, Seremban, Seri Manjung dan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (83).


Beberapa kawasan lain yang mencatatkan IPU dalam kategori sama ialah Pasir Gudang dan Larkin Lama (80); Langkawi, Nilai, Kuala Terengganu dan Putrajaya (79).


Sementara itu, 14 kawasan terutama di bahagian Sabah dan Sarawak merekodkan bacaan IPU sihat antara 26 dan 50.  


IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).


Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Bernama