Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Christoph Mueller berkata, perjanjian tersebut juga meliputi pajakan pilihan bagi dua pesawat tambahan A350-900s dan dua buah pesawat A330-900 neo.

Katanya, pesawat A350-900 yang dikuasakan dengan dua enjin Rolls Royce Trent XWB-84 adalah daripada buku tempahan ALC dengan Airbus dan ia dijangka terima pada suku keempat 2017 dan suku kedua 2018.

“Kami teruja untuk menerima pesawat ini menjadi sebahagian daripada MAB.

“Airbus A350 adalah sebuah pesawat dengan teknologi termaju dan kami yakin ia akan memberi keselesaan kepada penumpang seterusnya meningkatkan kecekapan pesawat kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ALC, Steven F. Udvar-Házy berkata, pihaknya yakin pesawat-pesawat baharu tersebut akan dapat membantu MAB memaksimumkan operasi sekaligus menaikkan kembali perniagaan syarikat penerbangan itu.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan MAB dan yakin melalui kerjasama ini ia akan membantu MAB untuk membantu mengembangkan perniagaannya pada masa yang sama mengurangkan kos operasi dan pelepasan karbon,” katanya.