MARANG - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) membuat persediaan untuk
memastikan kira-kira 19,000 calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di negeri ini yang akan
 mengambil peperiksaan itu bermula 12 Oktober tidak terjejas oleh jerebu.
    
Ketua Sektor Akademik JPNT, Azaha Abu Bakar berkata, pihanya telah mengambil
beberapa langkah antaranya akan membekalkan topeng muka dan peperiksaan diadakan
dalam bilik yang mempunyai pendingin hawa.
    
Katanya, pihaknya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) khususnya
di kawasan yang teruk dilanda jerebu seperti daerah Kemaman dan Dungun.
    
"Ketika ini jerebu di Terengganu masih terkawal ... namun kita tetap mengambil langkah
 berjaga-jaga," katanya kepada pemberita pada majlis graduasi pelajar Sekolah Menengah Seri
Payung di Akademi Bomba Wakaf Tapai, di sini, hari ini.
    
Pada majlis itu, sebanyak 72 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sijil penghargaan
 manakala 10 lagi menerima anugerah Khas Pengetua.


Azaha berkata pihak sekolah dan JPNT juga tidak menggalakkan para pelajar melakukan 
aktiviti di luar bilik darjah bagi mengelakkan mereka diserang penyakit seperti batuk, lelah dan 
sebagainya.
    
"Selain itu pihak sekolah turut menyarankan pelajar agar membawa dan meminum air kosong
secukupnya sepanjang musim ini," katanya.
    
Katanya jika keadaan berjerebu berterusan, Ops Topeng akan dilancarkan dengan topeng muka
diedarkan kepada para pelajar terutamanya yang mengambil peperiksaan. - Bernama