SEGAMAT - Akibat panik disergah anggota polis, pasangan kekasih yang sedang memadu
asmara di dalam sebuah kereta dekat Kilometer 5 Lebuhraya Kuantan-Segamat, di sini,
bertindak memandu kira-kira 20 kilometer dalam keadaan separuh bogel.


Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, pada kejadian 
kira-kira jam 11 malam kelmarin, pihaknya menerima panggilan orang awam yang 
melihat sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan.



“Selepas menerima panggilan, dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menuju ke 
kawasan berkenaan dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan enjin 
dihidupkan diletakkan berhampiran kawasan semak.



“Anggota polis kemudian menghampiri kereta berkenaan dan melihat sepasang kekasih 
sedang memadu asmara dengan kedua-kedua kerusi pemandu dan penumpang hadapan 
direbahkan,” katanya.



Menurutnya, anggota URB tersebut kemudian mengetuk cermin kereta beberapa kali dan 
mereka yang terkejut cuba melarikan diri dengan memandu pergi, namun sempat diekori 
anggotanya.



Katanya, kereta pasangan kekasih tersebut menuju ke arah Buloh Kasap sebelum memasuki 
Jalan Tasek Alai untuk ke arah Jementah sebelum berjaya dipintas serta ditahan di Kilometer 
8 Segamat-Jementah.



“Kereta pasangan kekasih tersebut yang dipandu secara berbahaya turut menyebabkan sebuah
 motosikal ditunggang anggota URB mengalami sedikit kerosakan apabila bergeser dengan 
kereta suspek.



“Pasangan kekasih tersebut kemudian memberhentikan kereta kerana dipercayai hampir kehabisan 
minyak sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat,” katanya.



Menurutnya, pasangan kekasih berusia 17 dan 22 tahun itu direman selama empat hari untuk 
siasatan lanjut selain merujuk kes tersebut ke Jabatan Agama Islam Segamat.


Sumber : Sinar Online