Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)‎ Datuk Che Gayah Ismail
berkata, keadaan jerebu memang diramalkan semakin pulih kerana taufan Dujuan yang telah lenyap
di China Selasa lalu, namun perubahan angin di Sumatera dan Kalimantan yang sepatutnya ke
Indonesia telah berpatah balik menyebabkan Malaysia terus mendapat jerebu.
   
Bagaimanapun, katanya pihaknya menjangkakan keadaan itu mungkin sedikit baik apabila terdapat
angin monsun dari arah timur laut yang dapat membuatkan cuaca menjadi lebih baik sekali gus
membantu mengurangkan asap jerebu.


Che Gayah berkata, monsun timur laut dijangka bermula pada minggu pertama atau kedua November dan 
akan berakhir pada minggu kedua Mac 2016.
   
Pada tempoh itu sebanyak empat atau lima episod hujan lebat monsun akan berlaku dengan hujan lebat
menyeluruh melebihi tiga hari.
   
"Hujan berepisod ini boleh mengakibatkan banjir dengan hujan lebat pertama dijangka berlaku pada
minggu ketiga atau keempat November, namun keadaan itu tidak akan memungkinkan banjir peringkat
ekstrem seperti tahun lalu," katanya.  - Bernama


Sumber : Sinar Online