Menurut laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) berhubung insiden itu, DNP mengeluarkan arahan kepada 
MH17 untuk bergerak ke arah 'ROMEO NOVEMBER DELTA' disebabkan masalah trafik di ruang udara timur Ukraine.

Jelas laporan berkenaan, komunikasi daripada kokpit pesawat MH17 itu dibuat pada pukul 13:19:56 (UTC) tetapi pada pukul 13:20:00 sehingga 13:22:02, DNP gagal menerima maklum balas daripada pesawat MAS itu untuk arahan selanjutnya.

Tambah laporan terbabit, sebelum komunikasi radio antara kokpit dan DNP terputus, pesawat MH17 terbang pada ketinggian yang dibenarkan iaitu 33,000 kaki di udara di Kawasan Larangan Sementara yang ditetapkan oleh pihak berkuasa penerbangan Ukraine, UkSATSE menerusi perkhidmatan NOTAM untuk pengetahuan juruterbang tentang laluan berisiko.

"UkSATSE menguatkuasakan Kawasan Larangan Sementara daripada ketinggian 26,000 kaki sehingga 32,000 kaki di kawasan timur Ukraine bermula 14 Julai 2014 sehingga 14 Ogos 2014, tetapi larangan itu tidak dikenakan ke atas pesawat komersial Ukraine," kata laporan itu.

Dalam pada itu, DSB menjelaskan, siasatan ke atas kotak hitam pesawat MH17 mendapati tiada bunyi amaran atau kecemasan terhadap kegagalan sistem pesawat dirakamkan oleh Perakam Suara Kokpit (CVR) dan komunikasi antara krew penerbangan juga tidak menunjukkan kecuaian atau situasi kecemasan berlaku dalam pesawat.