PUTRAJAYA - Jadual penerbangan di semua lapangan terbang di seluruh negara termasuk
 Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan klia2 tidak terjejas akibat jerebu teruk hari ini.
    
Menurut jurucakap Malaysia Airports, setakat pukul 7 malam ini operasi berjalan seperti dan
 tiada pembatalan penerbangan dilaporkan oleh syarikat penerbangan.
    
"Kita telah menyemak dengan semua pengurus lapangan terbang dan mereka sahkan lapangan
 terbang kendalian masing-masing beroperasi seperti biasa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
    
Sementara itu, semakan di laman Twitter Malaysia Airports mendapati syarikat itu turut membuat
 pengumuman dari semasa ke semasa mengenai operasi di beberapa lapangan terbang susulan jerebu.
    
Pada kira-kira 5.30 petang tadi, syarikat tersebut memuat naik dua pengumuman iaitu masing-masing
mengenai keadaan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang dan Lapangan
Terbang
 Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Kedah.


Kemas kini tersebut berbunyi :"Ketampakan di Lapangan terbang Sultan Abdul Halim (AOR) dilaporkan 
pada jarak 700 meter setakat 3.45 petang hari ini.
    
"Ketampakan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (KUA) dilaporkan pada jarak 900 meter setakat
2.45 petang hari ini,".
    
Menurut Malaysia Airports, keadaan tersebut tidak menjejaskan operasi di lapangan terbang berkaitan
namun menasihati penumpang supaya sentiasa membuat semakan dengan syarikat penerbangan masing-
masing mengenai jadual perjalanan.
    
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, sehingga pukul 6 petang tadi sebanyak 24 kawasan mencatat
bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, meningkat berbanding 13 kawasan tengah hari tadi.
    
Antara kawasan mencatat IPU tidak sihat adalah dua di Negeri Sembilan iaitu Seremban (172) dan Nilai
(171) selain Shah Alam, Selangor dan Batu Muda, Kuala Lumpur masing-masing 171, manakala Putrajaya
(156). - Bernama