KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengeluarkan garis panduan dalam tempoh
terdekat kepada semua penganjur acara bersempena Hari Sukan Negara pada 10 Oktober ini,
berikutan keadaan jerebu yang  melanda negara pada masa ini.


Menterinya Khairy Jamaluddin berkata keseluruhan acara sempena Hari Sukan Negara tidak 
boleh dibatalkan jika keadaan jerebu bertambah teruk pada minggu depan kerana bacaan Indeks 
Pencemaran Udara (IPU) adalah berbeza di sesuatu tempat.



"Oleh kerana pelbagai acara akan berlangsung pada hari itu (Hari Sukan Negara) di seluruh
 negara, kita tidak boleh mengambil keputusan untuk batalkan semua program kerana keadaan 
jerebu berbeza dari satu kawasan dengan kawasan lain.



"Kita akan keluarkan panduan apa peraturannya jika IPU mencecah 150 atau apabila bacaan 
berada antara 100 dan 150," katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir kejohanan ragbi 
Piala Agong di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.



Khairy berharap semua penganjur program sempena Hari Sukan Negara itu  mematuhi garis panduan 
itu, kelak.



"Kita serahkan keputusan kepada penganjur yang berada di lapangan untuk membuat keputusan," katanya.



Hari Sukan Negara merupakan program dipersetujui Kabinet untuk diadakan pada setiap Sabtu minggu 
kedua bulan Oktober di seluruh negara, bagi meningkatkan kesedaran rakyat agar mengamalkan gaya 
hidup sihat dan kekal cergas. - Bernama



Sumber : Sinar Online