Pages

Sunday, October 4, 2015

Kos Tukar Nama MAS Mahal

Pesawat penerbangan syarikat baharu Malaysia Airlines Bhd. (MAB).

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines Bhd. (MAB), tidak akan menukar penggunaan nama Malaysia Airlines atau singkatannya MAS di dalam rancangan penambahbaikan syarikat penerbangan itu, kerana pertukaran tersebut akan melibatkan kos yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Christoph Mueller berkata, penjenamaan semula memerlukan perbelanjaan yang tinggi terutamanya kos untuk mengecat semula pesawat-pesawat MAS.

Bagaimanapun jelasnya, dalam tempoh 18 bulan akan datang, MAS akan memperkenalkan imej baharu di dalam aspek perkhidmatan penumpang dalam pesawat dan lapangan.

Kata Mueller, Hal itu dibuat dalam usaha meraih semula keyakinan pengguna terhadap jenama MAS setelah menerima kesan buruk akibat tragedi pesawat MH370 dan MH17 tahun lalu. Antara perubahan yang bakal disaksikan mulai Disember ini ialah kerusi penumpang, menu, sistem hiburan semasa penerbangan dan konsep ruang menunggu.

“Saya tidak menganggap langkah-langkah ini sebagai proses penjenamaan semula yang terlalu ketara. Ia lebih kepada proses untuk menyegarkan semula jenama,” katanya menurut laporan akhbar Australia, The Sydney Morning Herald, semalam.

Selain itu, perubahan yang bakal dialami ialah pakaian seragam kakitangan MAB serta beberapa produk yang akan dinaik taraf untuk menyaingi syarikat-syarikat penerbangan lain di peringkat serantau.

Antara beberapa produk yang berpotensi untuk dinaik taraf itu termasuklah pesawat A330 MAS yang digunakan untuk penerbangan ke Australia ketika ini yang tidak menawarkan tempat duduk baring sepenuhnya bagi kelas perniagaan. 
Malah, sistem hiburan semasa penerbangan juga dikenal pasti agak ketinggalan berbanding pesaing rapat seperti Emirate, Singapore Airlines dan Qantas Airways, menurut laporan itu lagi.

Pada 1 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan penggunaan nama Malaysia Airlines tetap dikekalkan, setelah syarikat baharu menerima Sijil Operator Udara (AOC) yang mengambil alih peranan daripada Malaysian Airline System Bhd. sebagai syarikat penerbangan negara.

Mueller sebelum ini memba­yangkan bahawa persepsi buruk terhadap jenama Malaysia Airlines oleh pasaran Eropah, China dan Australia menjadi antara faktor penilaian yang akan dibuat oleh peringkat pengurusan MAB untuk mencari nama baharu bagi menggantikan nama Malaysia Airlines.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078